DISEMBER 2022

Kelestarian Alam Sekitar Yakinkan Pelabur


KUCHING: Penekanan Kerajaan Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar akan membuka jalan kepada lebih banyak aliran masuk pelaburan ke negeri ini.

Sehubungan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus akan mencipta bersama penyelesaian selain lebih banyak pekerjaan hijau dan peluang perniagaan untuk memacu ekonomi secara mampan.

"Pada masa ini, semakin ramai pelabur lebih mementingkan kelestarian alam sekitar semasa membuat keputusan untuk melabur.

"Kebanyakan pelabur yang bertanggungjawab secara sosial menyemak syarikat menggunakan kriteria kemampanan/alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menapis pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) Ke-10 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Tambahnya, korporat Malaysia perlu membuat peralihan kepada operasi tertumpu ESG dengan kadar segera.

"Kajian oleh sebuah bank global pada 2021 mendedahkan bahawa menjelang 2025, 70 peratus daripada syarikat multinasional (MNC) akan mengalih keluar pembekal. Ini kerana ia, berbahaya kepada pelan peralihan karbon mereka.

"MNC ini dijangka mengecualikan 35 peratus daripada pembekal semasa mereka apabila mereka beralih daripada karbon," tambahnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti